Jumat, 26 September 2008

Idul Fithri

Mudik Ke Desa Rindui Suasana Lebaran

Oleh ALI Noer

KIAN bertambah jemaah solat tarawih di masjid desa di serata Indonesia menjelang akhir Ramadan.Bahkan suasana kampung menunjukkan lebih banyak kereta diletak di halaman rumah yang biasanya tidak ditemui pada bulan lain. Selidik punya selidik ternyata hal itu disebabkan banyaknya warga kota besar yang pulang untuk beraya di kampung halaman.

Tradisi pulang ke desa menjelang Hari Raya di Indonesia disebut ‘mudik’ - bergerak ke hulu atau tempat asal. Mungkin ‘upacara tahunan’ ini hanya dikenali dan menjadi tradisi khas Muslim Indonesia seperti disebutkan oleh Encik Andre Moller dalam bukunya, Ramadan in Java (2002).

Tradisi mudik ini berlaku di setiap lapisan Muslim. Seolah-olah menjadi wajib pulang ke kampung menjelang lebaran.Tidak hairanlah kalau seminggu menjelang lebaran, tiket pesawat, kereta api dan bas dari kota besar khususnya Jakarta ke kota kecil akan melonjak mahal dan susah diperolehi.

Hal ini disebabkan jutaan pekerja di Jakarta dan kota besar yang lain ingin menikmati suasana raya di kampung halaman. Di stesen kereta api, akan nampak banyak penumpang yang rela beratur berjam-jam, bahkan sampai bermalam, untuk mendapatkan tiket.

Mengapa para pekerja di kota besar itu rela berdesak-desakan untuk mudik ke kampung halaman? Terdapat berbagai sebab yang mendorong mereka mudik menyambut lebaran di kampung halaman.

Detik raya di kampung bak suatu kesyahduan bercampur kerinduan. Ia waktu berhimpun untuk bermaaf-maafan dengan orang tua, tetangga dan sanak saudara. Tradisi mudik ini ada baik dan buruknya apabila dinilai dari segi ekonomi, sosial dan kerohanian.

Dari segi ekonomi, mudik dapat menggerakkan ekonomi di desa. Para pemudik yang bekerja selama setahun menabung di kota besar membawa wang untuk berbelanja di desa. Selain membelanjakannya, mereka juga banyak memberikan harta dengan cara berinfak dan sedekah kepada kerabat dan jiran.

Secara tidak langsung, amalan tadi memakmurkan orang kampung dan sekali gus menyemarakkan ekonomi desa. Bahkan banyak perusahaan saluran telefon bimbit seperti Indosat dan Telkomsel menjadikan acara ‘mudik’ sebagai wadah promosi produk mereka.

Indosat misalnya, mempunyai acara promosi yang disebut ‘Sensasi Mudik Punya Indosat’. Mereka tentulah bertujuan agar para pemudik menggunakan telefon bimbit Indosat selama berada di kampung.

Indosat mendirikan gedung mudik bagi pelanggan menikmati layanan makanan, busana, tempat beristirahat, surau, tandas, khidmat urut dan penjualan baucar produk Indosat selama perjalanan mudik menuju kampung halaman.

Secara sosial, mudik dapat dijadikan sarana untuk memperkuat ikatan emosional antara keluarga, kerabat, teman dan masyarakat secara umum di kampung-kampung. Meskipun teknologi komunikasi semakin maju, ternyata hubungan silaturahim apabila mengunjungi orang tua, kerabat dan jiran tidak dapat digantikan.

Tradisi bersilaturahim dari rumah ke rumah sepanjang Syawal memperteguh tali persaudaraan antara orang kampung dengan orang kota. Secara rohani, mudik bagi ‘kembali’ kepada kesucian kerana pada akhirnya manusia akan kembali ke ‘kampung akhirat’ kelak.

Dari segi yang kurang baik, mudik boleh menjadi suasana menonjolkan diri atau bersombong. Para pemudik ingin menonjolkan kejayaan mereka bekerja di kota besar dan tunjuk lagak di kampung.

Tidak hairanlah kalau para pemudik memandu kereta ke kampung. Bahkan demi tunjuk lagak, ramai juga yang sebenarnya menyewa kereta agar orang kampung menyangka mereka sudah berjaya di kota.

Budaya menonjolkan diri ini pada akhirnya akan memikat orang kampung berlumba-lumba ingin mencari rezeki di kota besar. Oleh itu setelah hari raya, bilangan penghuni di kota besar meningkat kerana menerima orang kampung yang berbondong-bondong ke sana.

Padahal, kalau tidak mempunyai kemahiran berguna, mereka akan terlantar di kota dan menjadi penganggur. Budaya tunjuk lagak juga berpengaruh negatif kepada tatanan nilai masyarakat di desa. Masyarakat akhirnya terpengaruh untuk menghormati seseorang kerana hartanya dan bukan lagi ketinggian akhlaknya.

Budaya mudik juga menunjukkan adanya ketempangan penyebaran penduduk, pembangunan dan ekonomi antara kota dengan desa di Indonesia. Fenomena sepinya kota-kota besar dan ramainya desa-desa selama hari raya menunjukkan bahawa beban berat kota besar di Indonesia adalah disebabkan bertumpunya manusia di kota.

Menjelang pilihan raya umum tahun depan, jangan sampai tradisi mudik tahun ini dijadikan kenderaan politik oleh parti-parti di Indonesia untuk menarik sokongan masyarakat.

Nampaknya tradisi mudik ini merupakan ciri khas budaya Muslim Indonesia yang tidak boleh dihilangkan begitu sahaja. Ia perlu dipertingkat untuk membawa manfaat yang lebih besar daripada kesan buruknya.

Tradisi mengeratkan jalinan keluarga dan orang desa, tanpa membezakan kaya miskin, memang perlu dilestarikan.

Malah tradisi bermaaf-maafan, berkunjungan dan berbahagi rezeki dapat menyuburkan ekonomi desa walaupun setahun sekali.

Namun, memang sukar mengikis amalan kepenggunaan dan kebendaan. Ini boleh dilakukan dengan kempen halus di media - bahawa ketika Ramadan dan menyambut Syawal, insan semuanya sama. Yang termulia ialah yang tertinggi takwanya di sisi Ilahi.

 

© 2007 SUNANGUNUNGDJATI: Idul Fithri